Wednesday, August 29, 2012

D.W. GRIFFITH : BIRTH OF A NATION


3. D.W Griffith's "Birth of a Nation" (1915). Write the review on the film with relevant screen shots topic/area of review:


D.W. GRIFFITH merupakan sebuah lagi nama hebat dalam sejarah perfileman dunia. Lahir pada 22 Januari 1875, anak kelahiran Kentucky, Amerika Syarikat ini cukup terkenal dengan filem yang berjudul Birth of a Nation yang diterbitkan pada tahun 1915.

Filem Birth of a Nation; seperti Georges Melies dengan filemnya A Trip to the Moon, merupakan sebuah filem adaptasi daripada novel  kepada wayang gambar. Malah, novel yang asal tajuknya ialah The Clansman tulisan Thomas Dixon ini turut merupakan sebuah drama pentas sebelum judulnya diubah apabila bentuknya juga diubah kepada filem.

Birth of a Nation dikenal pasti sebagai filem pecah panggung (box office/ blockbuster) yang pertama. Malah filem ini merupakan filem termahal sewaktu zaman kegemilangannya yang menelan kos sebanyak $110,000.

Selain daripada Birth of a Nation, sebuah lagi filem Griffith yang sering disebut-sebut ialah Intolerence.

Friday, August 17, 2012

GEORGES MELIES : SAINS FIKSYEN KE DUNIA FILEM


Asa Butterfield sebagai Hugo Cabret
FILEM Hugo yang muncul di pawagam lewat tahun 2011dibikin berdasarkan novel The Invention of Hugo Cabret tulisan Brian Selznick. Kisahnya bermula dengan pengenalan watak seorang budak lelaki yang bernama Hugo Cabret yang kematian bapa. Hugo kemudiannya tinggal di sebuah stesen kereta api dan menjadi penjaga jam utama di sana, iaitu pekerjaan yang diwarisi oleh bapa saudaranya yang hilang dan dijumpai mati di sebatang sungai.
      
Hugo gemar mencuri nat, gandar, dawai,skru dan sebagainya di sebuah kedai permainan untuk membaiki sebuah patung besi peninggalan ayahnya sehinggalah dia ditangkap oleh pemilik kedai tersebut. Tragedi demi tragedi dalam hidup Hugo membawa penonton kepada pendedahan identiti pemilik kedai tersebut; Georges Melies.

Georges Melies (8 Disember 1861- 21 Januari 1938)
 Ya, filem Hugo mengangkat watak George Melies, seorang pembikin filem yang dilihat kecewa dengan kehidupannya tetapi sebenarnya berjasa dalam realiti dunia perfileman. Wataknya dibongkar secara perlahan-lahan oleh Hugo dan Issabelle, anak baptis Melies dan isterinya melalui patung besi yang dibaiki oleh Hugo dan ayahnya sewaktu ayahnya masih hidup.

Ibu dan bapa kita mungkin pernah menonton filem Star Wars oleh George Lucas pada tahun 1977 diikuti filem Star Trek pada tahun 1979 oleh Gene Roddenberry. Kedua-dua filem ini dikenali sebagai filem-filem yang popular dalam genre fiksyen sains. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa sejarah filem sains fiksyen telah dicetus oleh Georges Melies. 

Le Voyage dan la Lune atau A Trip to the Moon
Pada tahun 1902, Georges Melies telah mencipta sebuah filem sains fiksyen, yang diangkat sebagai filem sains fiksyen pertama, iaitu A Trip to the Moon. Mungkin menjadi ikutan dalam masyarakat filem barat, mereka gemar melakukan adaptasi novel ke filem. A Trip to the Moon juga tidak terkecuali. Filem tanpa suara ini dibikin berdasarkan dua judul novel yang bertajuk From the Earth to the Moon karya Jules Verne (1865) dan The First Men in the Moon oleh H.G Wells (1901).

A Trip to the Moon mengisahkan sekumpulan astronomi yang merancang untuk ke bulan. Rancangan ini dipersetujui oleh enam orang astronomi dan mereka telah ke bulan dengan menaiki sebuah kapsul. Kapsul tersebut mendarat di bulan, tepat pada mata kanannya.

Inilah sumbangan George Melies dalam industri perfileman; memperkenalkan sains fiksyen sebagai salah satu genre dalam dunia perfileman.

Kata orang, gambar sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya. Nah, saya sediakan pautan filemnya (motion picture) di sini supaya kita lebih menikmati kisahnya secara visual :


* Gambar-gambar dicuplik daripada Google.

Wednesday, August 8, 2012

TENTANG SEORANG GADIS

SAYA harus akui bahawa saya jarang bercerita tentang sesuatu yang agak peribadi mengenai diri sendiri apabila diminta oleh orang lain. Kebiasaannya, saya lebih gemar berkongsi kisah dan pengalaman mengenai kerjaya saya sebagai seorang penulis bebas. Oleh hal yang demikian, ini adalah kali yang pertama.


Nama dikurnia, Sayidah Mu'izzah dan nama ini membawa maknanya ; Pemimpin wanita yang mulia. Harapnya kemuliaan pada maksud nama ini menjadi nyata dalam mengendong tanggungjawab sebagai seorang pemimpin terhadap diri sendiri juga terhadap masyarakat. Oh, ya! Boleh panggil saya Eja.


Kuala Terengganu adalah tanah kelahiran yang sangat saya cintai. Pantai dan angin Laut China Selatan di sana sering memberi ketenangan apabila diri ini diributkan oleh masalah duniawi yang tidak akan berhenti seperti yang setiap orang maklum. Tetapi, kini, setelah lima tahun berada di Kuala Lumpur, kota yang tak pernah kenal maksud tidur, kebanyakan waktu untuk nikmat tenang saya habiskan pada permukaan kertas dan kanvas. Sehingga setiap kali waktu resah datang menyusupkan rasanya ke ruang hati, hanya pena, berus dan warna yang menjadi teman luahan. Maka, pena, kertas, berus, warna dan kanvas menjadi kesukaan saya sehingga waktu ini.


Setiap manusia punya mimpinya sendiri. Mimpilah yang menjadi roh untuk memberikan kehidupan kepada yang hidup. Manusia yang tak punya mimpi telah terlebih dahulu menggali kuburnya sebelum ajal datang menerpa. Segala-gala yang ada dalam dunia seni adalah mimpi yang terlalu indah yang telah diciptakan oleh Tuhan.

Sebagai seorang penulis, mimpi saya hanyalah sebuah tanggungjawab sosial yang kerap kali memberi soal; apakah cukup segala perkara yang telah saya berikan kepada agama, bangsa dan negara? Saya tidak punya mimpi untuk jadi popular atau kaya. Kedua-duanya cuma bonus. Perkara yang lebih besar adalah didikan dalam setiap karya seni yang telah saya persembahkan kepada lima deria manusia. Apakah ia sudah cukup mendidik? Apakah ia sudah cukup memberi kesedaran? Apakah ia sudah cukup menyentuh insani masyarakat untuk kembali kepada jati diri yang semakin lupus dalam rutin kehidupan mereka?

Oleh sebab itu, saya sentiasa berhati-hati dalam menukang karya kerana jika karya saya memberi kesan yang baik atau buruk, ia akan menimpakan akibat kepada sebuah bangsa. Jika tidak sewaktu hayat saya masih ada, mungkin beribu tahun lagi kesannya akan tiba.

Hal ini sama seperti keadaan apabila kita terkesan oleh karya-karya Hamka, Sasterawan Negara Usman Awang, Sasterawan Negara Keris Mas,William Shakespeare, Jane Austen, C.S Lewis malah seperti zaman kanak-kanak kita yang diulit oleh karya-karya Enid Blyton yang tidak pernah kita lupa akan kisahnya sehingga waktu dewasa.

Kita tidak pernah tahu, apakah atau bilakah karya kita akan menjadi sesuatu yang mampu memberi pengaruh yang tersendiri terhadap masyarakat. Maka, sebab itulah kita harus sentiasa memberi peringatan kepada diri sendiri bahawa kerja seni bukan kerja yang main-main kerana setiap satu karya yang kita cipta menentukan masa depan generasi ; juga menentukan masa depan saya di akhirat sebagai seorang Muslim. Mimpi seni itu indah tetapi jalan ceritanya tidak akan pernah mudah untuk diangkat menjadi sebuah cita-cita melainkan diangkat oleh hati yang kuat seperti sepohon oak.


Apabila manusia memiliki hidup, bermakna ia memiliki pengalaman. Pengalaman membentuk diri sendiri seperti diri kita yang orang lain kenali. Ada sahabat yang menggelarkan saya 'manusia retorik yang degil'. Ya, saya seorang yang sangat degil. Oleh hal yang demikian, saya tidak mudah dibentuk oleh keadaan sekeliling kerana menjadi diri sendiri itu merupakan perkara yang paling penting sebagai seorang insan. Maka, bagi mengubah sesuatu keadaan yang tidak boleh diterima oleh bijaksana akal mahu pun logiknya, diri kita sendiri yang harus berubah dan mengubah, bukan menunggu keadaan itu berubah dengan sendirinya.
Tanggapan kedua yang ditempelkan oleh kawan-kawan saya adalah "The one who you cannot buy with just a cup of coffee". Saya tidak akan tiba-tiba berbuat baik terhadap seseorang hanya kerana dia memiliki sesuatu yang saya mahu, juga, seseorang itu tidak akan mudah merapati saya jika caranya tidak kena dengan saya. Ya, saya boleh menjadi kawan semua orang tetapi untuk berkawan rapat, ia menuntut masa dan bukti.
Tanggapan yang ketiga yang dibuat oleh Hafiz Latiff, orang yang sangat mengerti tentang diri saya ; seorang perempuan yang tegas. Saya jarang mengubah keputusan yang telah dibuat. Kebanyakannya tetap tetapi saya juga faham bahawa hidup ini harus memiliki fleksibiliti. Fleksibiliti, pada saya, hanya akan wujud dengan sebab-musabab yang benar-benar kukuh.


Sepuluh keadaan yang memberikan sesuatu makna kepada saya adalah :

  1. Melihat insan-insan yang saya sayangi berjaya dalam impian mereka
  2. Menjadi pelajar cemerlang.
  3. Berjaya menyudahkan novel - Kerja penyelidikan dan penulisan yang sangat menduga kekuatan jiwa; melainkan jika kamu menulis novel pop sensasi yang berlambak di pasaran, kamu mungkin menggunakan otak tetapi tidak memerlukan kerahan otak untuk menyudahkannya.
  4. Mendapat e-mel daripada editor yang meyatakan bahawa pihak mereka berminat untuk menerbitkan buku saya.
  5. Berjaya menghabiskan buku-buku yang tertangguh pembacaannya - Saya membaca 10-20 buah buku dalam satu-satu masa ; Ada orang kata ini kerja gila tapi saya mencintai aktiviti ini dan menyudahkannya sangat memberikan katarsis.
  6. Cerpen saya yang bertajuk 'Segregasi' disenaraipendekkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2009. 
  7. Penubuhan syarikat sendiri, Legasi Oakheart yang menguruskan bengkel penulisan kreatif juga acara seni dan sastera serta menguruskan penerbitan buku - Insan-insan di sebalik tabir kerja ini sangat mengagumkan saya kerana kebanyakan mereka masih terlalu muda, berjiwa besar dan memiliki jati diri yang utuh!
  8. Mengenali insan yang bernama Hafiz Latiff, yang sentiasa menjadi penyokong setia, selalu memberi inspirasi (tanpa dia sendiri menyedarinya) dan menerima saya seadanya.
  9. Menulis kolum sendiri untuk segmen kritikan/ulasan filem. - Jangan lupa dapatkan majalah Tunas Cipta edisi September 2012 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
  10. Tetap menjadi diri sendiri apabila ada orang fikir untuk waktu itu, kamu harus mengawal diri kamu seperti diri seseorang yang tidak pernah kamu jadi.

Filem-filem yang telah saya tonton baru-baru ini :

Step Up : Revolution
Anonymous
Salmon Fishing in the Yemen
The Big Miracle
The Amazing Spiderman


Filem yang paling saya gemari ialah filem yang memiliki jiwa, yang membawa pemikiran dan bukan sekadar hiburan semata-mata.

Ada filem-filem yang bagus, yang boleh kita puji relevan kewujudannya dalam mandala perfileman dunia. Contohnya,  filem-filem dari Iran garapan pengarah-pengarah yang bagus seperti Children of Heaven oleh Majid Majidi, A Snake Tail oleh Bijan Daneshman, Mi for Mother oleh Rasoul Mollagholipur dan lain-lain, yang membawa imej yang kita harapkan ada padanya, yang tidak kelihatan plastik, yang mengangkat bangsanya dan kisah bangsa itulah yang kita mahu lihat.

Persoalannya mudah, apa gunanya kita melihat sebuah bangunan yang sama bentuk dan fungsinya seperti Menara Kuala Lumpur, dibina di Hollywood sedangkan di Malaysia, kita sudah memilikinya? Kitalah yang harus mengangkat wajah Menara Kuala Lumpur untuk dilihat oleh Hollywood kerana itu milik kita, wajah kita, bahawa kita satu-satunya negara yang memilikinya. Kalau di tempat lain sudah tidak jadi Menara Kuala Lumpur. Berkemungkinan akan menjadi Menara Hollywood, Menara Eiffel, atau apa-apa sahaja. Orang luar pun tidak mahu tengok kerana mereka sudah memiliki sesuatu yang serupa dengannya.


Filem yang saya tidak gemari adalah filem-filem yang tidak menuntut penontonnya membawa otak ke dalam pawagam, yang membentuk penontonnya menjadi masyarakat yang malas berfikir, yang tidak memiliki identiti yang seharusnya filem itu miliki. Kebanyakan filem Malaysia mengalami masalah ini dan hal ini amat membimbangkan dunia perfileman kita. Hal ini kerana industri filem kita terpecah kepada dua jenis pembikin filem; Pembikin yang menerbitkan filem atas paksi seni juga pembikin yang berorientasikan rating dan keuntungan perniagaan semata-mata - atau mungkin ada spesis ketiga ; orang yang tidak tahu nilai estetika seni tetapi mahu juga bikin kerja seni, ini masalah perasan sendiri.

Filem bukan sekadar sesuatu yang harus dinikmati oleh deria pandang melalui sinematografi atau bahasa kamera atau pencahayaan semata-mata. Ini sesuatu yang ramai pembikin filem terlepas pandang. Unsur agama, ketuhanan atau teladan juga hanya menjadi tempelan dan pengajarannya dilihat seperti dipaksa-paksa dan tidak natural. Perkara ini sering kita lihat dalam filem-filem yang pada hujung ceritanya ditempelkan ayat-ayat al-Quran. Ini tidak memberi apa-apa makna kepada penonton kerana ia menggunakan konsep 'tell' atau memberitahu bukan konsep 'show' iaitu tunjuk yang lebih penting dalam pembikinan sesebuah karya kreatif.

Filem juga merupakan seni yang harus menuntut para penonton membawa deria dengar, fikiran, hati dan jiwa. Perkara yang boleh kita katakan, kebanyakan pembikin filem kita tewas dengan puaka fikiran sendiri bahawa masyarakat memerlukan filem-filem yang memaparkan kisah-kisah ranjang, bohsia, bohjan, gengster, hantu (walaupun dalam bentuk komedi), dan sebagainya walhal jika tidak ada pun perkara-perkara itu, ia sedikit pun tidak mencacatkan cerita mahupun mandala perfileman tanah air. Jika kita masih menggunakan formula perfileman yang sedia ada, sampai bila-bila pun, filem kita tidak akan mengangkat wajah kita seperti keadaannya jika Thomas Alva Edison tidak mencetuskan idea mencipta lampu, maka terus-meneruslah hidup kita suram bertemankan pelita minyak tanah. Terdapat juga kemungkinan, pelita itu yang akan membakar rumah kita sendiri dan ya, industri filem kita sedang 'membakar' masyarakatnya.